
Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Ramun (SKBR) merupakan sekolah rendah yang terdapat di daerah Kulai dalam Negeri Johor Darul Takzim. Sekolah ini terletak di kawasan FELDA dan merupakan sekolah luar bandar.
Sekolah ini hanya terdiri daripada murid yang berketurunan Melayu. Ia terdiri daripada murid berusia 6 hingga 12 tahun. Pada awalnya, sekolah ini diiktiraf sebagai sekolah gred B dan dinaik taraf gred A pada tahun 2002. Maka dengan ini, SKBR merupakan sekolah gred A.
Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Ramun (SKBR) telah dibuka pada 01 Januari 1970. Sekolah ini didirikan di atas tanah seluas 6.760 ekar. Bertepatan dengan keluasannya, telah didirikan dengan satu blok bangunan yang mempunyai enam buah bilik darjah, sebuah pejabat, sebuah bilik rehat guru, sebuah kantin dan padang. Pada awal pembukaannya, sekolah ini mempunyai bilangan murid seramai 468 orang dan dibuat dalam dua sesi persekolahan iaitu sesi pagi dan sesi petang.
Pada tanggal 06 Oktober 1972, Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Ramun (SKBR) telah dirasmikan pembukaannya oleh Y.B En Ab. Ghafar bin Baba selaku Menteri Pembangunan Negeri dan Luar Bandar Malaysia.
Pucuk pimpinan sekolah ini telah diterajui oleh En Idros bin Min selaku guru besar pertama dan dibantu oleh 8 orang guru penolong. Bilangan murid semakin bertambah dari setahun ke setahun terutamanya pada tahun 1971 sehingga 1975. Sehubungan dengan itu, pihak jabatan pendidikan telah menambah bilangan guru seramai 17 orang bagi memastikan sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna. Pentadbiran sekolah ini telah dibantu oleh kakitangan sokongan yang terdiri daripada seorang pembantu am rendah, empat pekerja am rendah, seorang pembantu tadbir, seorang pembantu pra sekolah dan seorang pengawal keselamatan.
Tempat beliau kemudian telah diambil alih oleh En Jaafar bin Adam pada 16 Januari 1983, jawatan sebagai Guru Besar ini terus saling bertukar tangan. Kini, En Md. Yunos bin Ramlan memegang jawatan ini sejak tahun 2003 lagi.